Sunday 23 June 2013

Kecemerlangan Dari Ketenangan Bersama Allah SWT

Kecemerlangan Dari Ketenangan Bersama Allah SWT


Untuk akhir semester bagi pengajian diploma saya, terdapat 3 subjek yang perlu saya selesaikan dan setiap satunya memerlukan saya untuk memerah otak dan keringat bagi menghasilkan idea yang sesuai dengan subjek atau tema yang telah diluluskan oleh pensyarah.

            Proses menyiapkan sesuatu rekaan dalam keadaan tertekan hanya akan membunuh kekuatan diri sahaja untuk terus konsisten dalam menyiapkannya dengan penuh berkualiti. Ketenangan hati perlu diraih dan itu sudah seperti menjadi suatu kemestian untuk semua pereka ada. Jika tidak, langkah akan terhenti di pertengahan jalan.

            Bagi mendapatkan ketenangan hati tersebut, masing-masing berusaha dengan kadar fikir, 'ilmu, cara pandangan dan seumpamanya yang mereka ada. Sebab itulah ada yang mencari ketenangan dengan mendengar lagu sahaja, ada pula dengan keluar rakan-rakan dan sebagainya. Namun, perlu juga disedari dalam kesibukan mencari ketenangan itu sebenarnya kita masih lagi dalam keresahan sekiranya tidak memilih pendekatan yang sewajarnya terutamanya sebagai seorang Muslim. Islam itu sendiri mengajarkan untuk mencari ketenangan dengan menghubungkan segala aspek kehidupan yang berlandaskan syariat kepada Allah SWT. Biarpun dalam kesibukan, hati senantiasa terhubung dengan Allah SWT yang selanjutkan memberikan suatu ketenangan ke dalam hati tatkala memerah keringat melakukan sesuatu pekerjaan.


            Lantaran, saya sering memperingatkan diri saya bahawa jika saya ingin menjadi penulis dan pereka yang cemerlang, hubungan saya dengan Allah SWT seharusnya cemerlang terlebih dahulu agar ketenangan hati sentiasa menitip sepanjang saya menghayunkan langkah dalam perjalanan yang penuh dengan cabaran ini.

No comments:

Post a Comment