Thursday 6 June 2013

Pemerintah Mughal Yang Mencintai Ilmu : Sultan Aurangzeb Alamgir

Pemerintah Mughal Yang Mencintai Ilmu : Sultan Aurangzeb Alamgir



Kepentingan untuk mengkaji sejarah juga disedari oleh pemerintah Islam kemudiannya iaitu Aurangzeb. Malah dalam kes-kes tertentu seperti Aurangzeb (meninggal dunia 1707 Masihi) misalnya, beliau memarahi bekas gurunya yang telah gagal mengajarkannya pada waktu kecil ilmu-ilmu yang berguna untuknya sebagai pemimpin. Aurangzeb adalah pemimpin besar terakhir Kerajaan Mughal di India yang kuat berpegang pada ajaran agama, adil dan banyak membuat perubahan yang membina. Oleh sebab kandungan kata-kata beliau kepada salah seorang gurunya yang tidak bertanggungjawab ini penting, maka saya membawakan antara petikan kata-kata beliau yang pernah diucapkan dalam penulisan ini :

         Apakah tidak menjadi kewajipan bagi guruku untuk mengajarku ciri-ciri penting setiap negara didunia, kekayaannya dan kekuatannya, kaedah peperangannya, akhlaknya, agamanya, corak kerajaannya serta arena kepentingannya; dan dengan pembacaan bahan sejarah secara berterusan guru seharusnya memberikan kefahaman kepadaku tentang sejarah negara-negara, kejayaannya dan kejatuhannya...Jauh daripada mengajarku sejarah manusia secara menyeluruh, aku tidak langsung mempelajari daripadamu tentang datuk nenekku dan pengasas penting kerajaan ini...serta kebolehan mereka sehingga berjaya menakluki jajahan luas...

...Ya, kamu telah membuatku menghabiskan waktu mempelajari hipotesis dan sistem pemikiranmu yang tidak berguna...Jika kamu telah mengajarku satu falsafah yang melatih akal untuk berfikir dengan baik, dan melatihnya tidak mahu rasa cukup kecuali denga hujah yang jitu, jika kamu mengajar sesuatu yang bole mempertingkatkan jiwa dan memperkuatnya dalam menghadapai arus kehidupan sederhana: yakni tidak angkuh dalam kejayaan dan tidak hina dalam kegagalan; jika kamu mengajarku sifat manusia; membiasakan diriku dengan prinsip utama, dan memberikan kepadaku pemahaman tinggi dan menyeluruh tentang alam raya serta perjalanannya-jika inilah falsafah yang kamu ajaran kepadaku, aku seharusnya berhutang budi kepadamu lebih daripada Iskandar Zulkarnain berhutang budi dengan Aristotle.[1]
           
            Saya tersenyum sendiri apabila membayangkan ucapan yang disebut oleh Sultan Aurangzeb Alamgir kepada gurunya itu. Kadang-kadang terfikir juga, "Kurang ajar juga Sultan Aurangzeb Alamgir kepada gurunya itu sampai sanggup memarahi gurunya." Namun, lintasan itu meleset sedikit demi sedikit dari fikiran apabila mengenangkan kesan terhadap pengabaian proses pembelajaran dan penghayatan sejarah yang akan mengakibatkan sesuatu generasi itu mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh generasi terdahulu. Ini bertepatan dengan suatu hadis di mana Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

"Orang mukmin tidak dipatuk dari lubang sama dua kali."





[1] Wan Mohd Nor Wan Daud, 2007, Budaya Ilmu : Satu Penjelasan, Kuala Lumpur : Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapore.

No comments:

Post a Comment