Saturday, 29 June 2013

Bertaqwalah Dalam Menyebarkan Sesuatu Maklumat

Bertaqwalah Dalam Menyebarkan Sesuatu Maklumat



Al-Imam 'Abd al-Rahman bin Mahdi (meninggal 198 H) mengatakan :

Seseorang tidak menjadi imam (pimpinan umat) yang diikuti sehinggalah dia tidak menceritakan sebahagian apa yang dia dengar.
(Riwayat Muslim)

Al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179 H) menyebut:

Ketahuilah, tidak selamat seseorang yang menceritakan setiap apa yang dia dengar, dan seseorang tidak menjadi imam (pimpinan) sama sekali apabila dia menceritakan setiap yang dia dengar.
(Riwayat Muslim)

       Dua hadis ini saya terjumpa di dalam sebuah buku yang bertajuk Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya karya Dr. Mohd Asri B.Zainul Abidin. Buku ini menjelaskan riwayat-riwayat yang berisi berita yang tidak sahih mengenai sejarah ulama pada zaman terdahulu sehingga membuatkan ia berlanjutan menjadi suatu fitnah yang melebarluas di dalam masyarakat sekarang.

       Pada zaman kecanggihan teknologi maklumat yang ada sekarang melalui laman sosial seperti Facebook, Blog dan sebagainya membolehkan seseorang itu menyebarkan sesuatu maklumat itu dengan pantas. Namun, tidak terlepas juga daripada tersebarnya bahan-bahan perkongsiaan yang tidak tahu datang dari mana sumbernya. Lebih-lebih lagi sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW dan para ulama. Untuk suatu jangka masa yang panjang, ia akan menatijahkan kemudaratan kepada masyarakat dalam beragama. Sebagai contoh, kata-kata yang tidak diambil daripada sumber asal akan menghasilkan pelbagai tafsiran yang menyimpang daripada apa yang hendak dimaksudkan oleh ulama itu sendiri. Sehinggakan sampai pada suatu tahap, tafsiran yang salah itu dianggap seperti wahyu yang wajib dituruti di dalam kehidupan. Keadaan ini jika tidak dibendung dengan segera akan membuatkan pelbagai jenis salah faham akan semakin tersebar luas di dalam masyarakat.

      Benar bagi sesiapa yang mendakwa kebaikan itu harus disebarkan. Tetapi menjadi suatu keutamaan yang harus didahulukan iaitu memastikan kesahihan sesuatu bahan yang hendak disebarkan. Ini penting untuk mengelak diri kita menyebarkan sesuatu bahan yang memberikan manfaat yang kecil tetapi pada masa yang sama memberikan kemudaratan pula. Ini adalah sesuatu perkara yang merugikan masyarakat.

       Semoga kita sama-sama bermuhasabah kembali sejauh mana kita berhati-hati dalam memastikan kesahihan sesuatu maklumat yang hendak disebarkan kepada umum. Ini kerana kelak Allah SWT akan menyoal kembali terhadap apa yang kita lakukan di atas muka bumi ini. Justeru, bertaqwalah kepada Allah SWT tatkala menyebarkan sesuatu maklumat kepada orang ramai.


Wallahu'alam.

Jagalah Solat Untuk Mencapai Keberkatan Masa

Jagalah Solat Untuk Mencapai Keberkatan Masa


Keberkatan masa bergantung kepada sejauh mana usaha kita menjaga waktu solat dengan penuh komitmen dan tidak sambil lewa. Ini saya sedari pada hari ini iaitu 29 Jun 2013 dan mencoretnya menjadi sebuah penulisan seusai solat Zohor berjemaah.

         Pernah tak dalam kehidupan kita ini, walau bagaimana sibuk kita dengan sesuatu pekerjaan itu masih belum sahaja menatijahkan suatu keberhasilan yang memberangsangkan? Ini sebenarnya perlu disedari kembali dan difikirkan dengan sedalam mungkin iaitu sejauh mana kesibukan kita selama ini terhubung dengan Allah SWT supaya kesibukan itu menjadi satu kesibukan yang bermanfaat.

            Tidak dinafikan bahawa pemanfaatan masa yang semaksima mungkin itu menjadi sebab-musabab untuk menghasilkan pengurusan masa yang efisien. Tetapi janganlah bersikap melampau sehingga menyebabkan kepercayaan bahawa pengurusan masa itu semata-mata bergantung kepada diri sahaja sehingga terputus kebergantungan ataupun kehambaan kita kepada Allah SWT. Malah, lebih teruk daripada itu kita menganggap dengan melewat-lewatkan solat itu dapat memberi ruang untuk kerja yang hendak lakukan itu dapat disiapkan dengan segera. Salah sama sekali tanggapan itu kerana keberkatan sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu bergantung kepada sejauh mana kita menjaga hubungan dengan Tuhan yang mengurniakan keberkatan iaitu Allah SWT.

            Jadi fikirkan kembali, apakah Allah SWT akan mengurniakan keberkatan kepada pekerjaan yang dilakukan kita jika waktu yang diwajibkan untuk menyembahNya pun kita sendiri ambil yang sememangnya menjadi hak Allah SWT. Kalau sedemikianlah perbuatan kita selama ini, ayuhlah kita insafi kembali bahawa pemilik segala keberkatan itu adalah Allah SWT. Jagalah hubungan kita dengan Allah SWT dengan penuh komitmen supaya kehidupan kita senantiasa dilimpahi keberkatan. Janganlah asyik tahu berdoa memohon keberkatan daripada Allah SWT sahaja namun usaha untuk menjaga kehidupan kita dengan Tuhan yang memiliki segala keberkatan itu dipandang enteng sahaja.

           Ingatlah selepas ini sama-sama kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk tidak melewat-lewatkan waktu solat.


            Wallahu'alam.

Friday, 28 June 2013

Bukan Urusan Saya

Bukan Urusan Saya



Syeikh Muhammad Sa’adudin bin Hasan Khan at-Tabrizi (w.1008H) merupakan Syeikh al-Islam (mufti Negara) yang ke-22 di dalam kerajaan Turki Uthmaniah.

Khalifah Turki yang bernama Sultan Ahmad I mengirim sepucuk surat rasmi kepada Syeikh Sa’dudin untuk bertanya, “Apakah kekurangan yang terdapat di negara ini (sehingga kita mengalami kemunduran dan kekalahan daripada musuh) padahal Allah menjanjikan kemenangan bagi umat Islam?”

Syeikh yang bijak ini segera menulis jawapannya, “Bukan urusan saya.” Sultan Ahmad I menjadi sangat marah apabila membaca jawapan tersebut. Dia menyangka bahawa Syeikh Sa’dudin mengabaikan pertanyaan penting ini.

Dengan tenang, Syeikh Sa’dudin menjelaskan, “Saya tidak mengabaikan pertanyaan tuanku. Sebaliknya, saya menjawab pertanyaan tersebut dengan sangat teliti. Kalimat “bukan urusan saya” inilah penyebab utama kemunduran umat Islam.

Jika setiap individu – sama ada pejabat di dalam kerajaan atau rakyat biasa – hanya mementingkan diri sendiri, dan berkata “ bukan urusan saya” setiap kali melihat permasalahan umat, maka kemunduran demi kemunduran, dan kekalahan demi kekalahan akan menimpa umat Islam secara berterusan.”
Setelah memahami ucapan Syeikh yang penuh makna, Sultan Ahmad I menjadi sangat malu. Lalu dia segera meminta maaf kepada Syeikh Sa’dudin dan memberikan hadiah yang banyak kepada beliau.

Titipan dari buku Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia karya Al-Fadhil Ustaz Umar Muhammad Noor, Terbitan Telaga Biru.

Elakkan Diri Dari Bebalisme

Elakkan Diri Dari Bebalisme



Jahil atau bebal juga tidak merujuk semata-mata kepada ketiadaan maklumat dan fakta yang betul tetapi lebih penting lagi merujuk kepada sifat rohaniah yang rendah dan degil walaupun mempunyai maklumat yang betul dan mencukupi. Berkenaan dengan ciri budaya dan bentuk pemikiran "bebalisme", Profesor Syed Husein al-Atas telah mengupas dengan panjang dan mendalam sekali.

Beliau menyimpul senarai ciri "bebalisme" ini seperti yang berikut:
  1. Tidak mampu mengenali masalah.
  2. Jika diberitahu, dia tidak berupaya menyelesaikannya.
  3. Tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan, malah tidak memiliki kemahiran belajar.
  4. Tidak mengaku kebebalannya.
  5. Tidak boleh menghubung-kaitkan sesuatu dalam konteks ruang dan waktu dan dengan faktor lain.
  6. Hanya memberikan tindak balas kepada suasana sementara tetapi tidak memikirkan akibat/perkiraan jangka panjang.
  7. Berfikir hanya melalui sebab terhad dan tidak melalui urutan sebab-akibat.
  8. Terpenjara dengan tabiat sendiri tanpa berfikir secara kritis tentang asas pemikirannya.
  9. Tidak berfikir dengan mendalam.
  10. Tidak konsisten.
  11. Tidak mempunyai tenaga akal dan hanya menurut apa yang mudah.
  12. Tidak berupaya berbicara dengan abstraksi yang tinggi tanpa menentang hakikat
Semoga pengisian ini menambah pengetahuan...

Sumber rujukan : Budaya Ilmu - Satu Penjelasan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud

Adab Antara Pemimpin dan Pengikut

Adab Antara Pemimpin dan Pengikut


Al-Hubab bin al-Munzir bertanya: "Wahai Rasulullah! Adakah tempat ini ditetapkan oleh Allah SWT kepada kamu; di mana kamu tidak boleh terkedepan mahupun terkebelakang. Atau ia merupakan buah fikiran, strategi perang dan tipu helah?"

            Rasulullah SAW menjawab: "Bahkan ia berdasarkan buah fikiran, strategi perang dan tipu helah".

            Maka al-Hubab bin al-Munzir mencadangkan kepada Baginda agar berpindah ke tempat lain yang lebih strategik dan membolehkan orang Islam menyekat air Badar sampai kepada orang musyrik. Oleh itu, Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda berangkat sehingga mereka sampai ke tempat yang dicangkan oleh al-Hubab bin al-Munzir.[1]

            Saya bertemu kisah ini sewaktu membaca buku Sirah Nabi Muhammad SAW karya Dr. Mustafa as-Syabiae yang merupakan salah seorang ulama Syria yang terkenal dalam gerakan Islam, Ikhwanul Muslimin di Syria. Dikisah al-Hubab bin al-Munzir begitu beradab dalam mencadangkan suatu cadangan dengan terlebih dahulu bertanyakan kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan kepastian bahawa cadangan Baginda itu merupakan sekadar cadangan ataupun wahyu daripada Allah SWT. Kemudian ia disambut dengan baik oleh Rasulullah SAW dengan menjelaskan bahawa ia berdasarkan buah fikiran. Ini merupakan pengajaran asas yang boleh diambil bagi sesiapa yang membaca sirah ini dengan cermat.

            Sirah ini seharusnya dihayati dengan sebaik mungkin dalam sesuatu misi dakwah yang hendak dikerjakan di dalam kehidupan ini supaya pendekatan dan strategi yang baik dapat diusulkan untuk menjayakan sesuatu misi.



[1] Sirah Nabi Muhammad SAW karya Dr. Mustafa as-Syabaie, Pustaka Salam, hlm.85.

Antara Restu Emak Ayah dan Restu Allah SWT

Antara Restu Emak Ayah dan Restu Allah SWT


"Kekasih saya tu dah tahu kami berdua berkawan. Mak ayah pun dah tahu dengan siapa anak mereka berkawan, jadi tidaklah risau sangat kalau kami keluar berdua. Alhamdulillah. Tak lama lagi kami rancang nak kahwin, tapi sekarang masih lagi belajar. Jadi, lepas habis belajar kami berdua kahwinlah," ucapnya dengan penuh rasa lega.

           Inilah alasan yang seringkali diberikan apabila ditegur akan pasangan yang bercouple. Mereka menjadikan restu emak ayah itu sebagai tiket untuk menghalalkan hubungan dan pergaulan mereka yang gayanya seperti suami isteri. Perlu diingat dalam hal ini bahawa restu emak ayah terhadap sesuatu perkara yang melanggar restu Allah SWT adalah terbatal sama sekali. Bagaimana hendak mengenali restu Allah SWT? Sudah tentulah melalui syariat daripada Allah SWT. Jika sesuatu hubungan dan pergaulan itu melanggar apa yang digariskan dalam syariat, maka itu sudah bererti melanggar restu Allah SWT.

           "Eh, bukan restu Allah SWT itu datang dari emak ayah ke?" soal pula pasangan lain apabila dijelaskan sedemikian.

          Ya. Restu emak ayah yang sedemikian hanya terbatas dalam perkara-perkara yang tidak melanggar batasan syariat sahaja. Itu hanya terpakai bagi emak ayah yang sememangnya memahami Islam dengan baik sahaja.

           Kesimpulannya, jangan terus hendak menggunakan tiket restu emak ayah bagi menghalalkan sesuatu perkara yang sudah jelas bertentangan dengan apa yang digariskan oleh syariat. Jika emak ayah tidak mengetahui, khabarkanlah kepada mereka akan apa yang sudah kita ketahui. Mungkin dalam kesibukan mereka mencari nafkah untuk menyara kita, mereka terlepas pandang perkara ini. Bantulah pula emak ayah untuk memahami Islam dengan lebih baik agar kelak, restu emak ayah itu selari dengan restu Allah SWT.

Wallahu'alam.


Antara Seksa Jerebu dan Seksa Neraka

Antara Seksa Jerebu dan Seksa Neraka

* Artikel ini khas kepada mereka yang mendakwa mempercayai seksa neraka.


Sambil duduk sebentar menunggu rakan saya habis solat kerana dia sedikit lewat mengikuti solat jemaah, saya mengambil peluang untuk berbual dengan Abang Li. Beliau merupakan salah seorang staf di kampus saya yang seringkali juga berkongsi pengamatannya akan mahasiswa yang bagi saya sungguh mematangkan fikiran jika dihayati dengan baik.

            "Macam mana hidup Abang Li sekarang?" soal saya setelah sekian lama tidak berjumpa dengannya. Sebelum ini

            "Hidup Abang Li sekarang alhamdulillah. Semenjak hidup selepas jerebu, banyak perkara juga yang dipelajari. Pagi lepas habis jerebu terus naik basikal takut esok lusa jerebu balik," balas Abang Li yang sememangnya suka mengayuh basikal.

            "Itulah, musim jerebu boleh dikatakan sebagai musim muhasabah juga la," balas saya dengan nada spontan.

            "Betul juga tu. Waktu jerebu, yang bertudung siap pakai mask dah macam pakai purdah. Yang tak tutup aurat pula tutup juga, tutup mulut dan hidung sahaja. Bila fikir seksa jerebu, terus tutup hidung dan mulut. Itu kalau fikir seksa neraka tu mesti terus tutup aurat," jelas Abang Li sambil merenung jauh.

Apa Yang Kita Fikirkan?

Siapa kita sekarang bergantung kepada apa yang kita fikirkan sekarang. Penampilan kita dalam kehidupan juga bergantung kepada apa yang kita fikirkan. Musim jerebu yang baru sahaja berlalu dan sedikit reda di beberapa tempat tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa diambil pengajaran buat kehidupan kita yang mendatang. Musim jerebu itu tepat sekali untuk kita katakan sebagai musim muhasabah yang memberikan seribu satu macam pengajaran yang penting untuk membaiki kehidupan kita kelak yang bakal mendatang.

            Pengajaran yang diperoleh daripada apa yang saya bualkan bersama Abang Li itu sungguh memberikan pengajaran yang mendalam dalam fikiran saya sehingga terdetik untuk menulis kembali dalam penulisan ini. Pengajaran yang saya maksudkan adalah manusia itu sebenarnya bertindak atas apa yang difikirkan dan sejauh mana mereka fikirkan.

            Apabila direnung kembali, penampilan manusia terus berubah dengan bertopeng di sana sini dek kerana mereka percaya bahawa jerebu itu akan mengganggu kesihatan walaupun mereka belum lagi terjejas kesihatan. Percaya mereka itu bukan sahaja percaya semata-mata, namun percaya mereka itu diiringi dengan proses berfikir. Lantaran itu yang membuatkan mereka bertindak untuk memakai topeng sebagai langkah berjaga-jaga. Itu dalam konteks jerebu. Mari pula kita alihkan konteks kepada seksa neraka. Nabi Muhammad SAW sudah mendatangkan khabar kepada umatnya akan seksa neraka dan tindakan yang akan membuatkan mereka terkena dengan seksa neraka tersebut. Tidak kurang yang percaya bahawa seksa neraka itu wujud. Tidak kurang juga yang menjelaskan bagaimana keadaan seksa neraka melalui pelbagai jenis bahan bacaan dan isi perkongsian di laman sosial. Namun kenapa ia tidak menghasilkan tindakan dan penampilan yang berbeza dengan orang yang tidak percaya dan tidak mengetahui? Ya! Ini kerana kepercayaan itu tidak diiringi dengan proses berfikir untuk menghasilkan tindakan yang sewajarnya berdasarkan kepercayaan tersebut.


            Kesimpulannya, muhasabah kembali kehidupan kita sambil menyulaminya dengan proses berfikir supaya ia dapat mengaktifkan kepercayaan kita terhadap sesuatu supaya dapat diamalkan di dalam kehidupan.

Thursday, 27 June 2013

Kenapa Saya Menulis Blog?

Kenapa Saya Menulis Blog?

Untuk menghasilkan sesuatu penulisan, saya perlu untuk mengkaji, membaca dan pergi sendiri merasai pengalaman dengan kerenah manusia untuk menerapkan kefahaman Islam di dalam diri mereka. Tidak bergerak jari-jemari untuk menulis sesuatu penulisan jika tidak bergelut dengan sebaiknya di alam realiti.

            Tiada jihad fantasi yang dicurahkan di dalam penulisan yang mampu menerobos jihad realiti. Bezanya antara menjadi blogger dan pejuang yang lain dalam menyegarkan Islam adalah blogger ini menulis dan berkongsi apa yang dilaluinya dalam jihad realiti agar setiap orang dapat berkongsi penyelesaian yang sewajarnya untuk dikongsikan. Buruk sekali orang yang rajin melabel sesiapa yang menulis di dalam alam maya melalui blog itu sebagai jihad fantasi.

            Di saat ada sahaja sebahagian orang yang suka melabel usaha menulis blog itu sebagai jihad fantasi, musuh-musuh Islam pula rancak menyebarkan maksiat di alam realiti dan alam maya. Inilah juga salah satu faktor yang membina tenaga di dalam diri saya untuk terus menulis. Kajilah kembali ulama' mana yang tidak menulis sepanjang kehidupan mereka disamping berbasah peluh di alam realiti juga. Bermuhasabahlah.

# Gambar dibawah adalah folder penulisan yang sedia dikarang untuk disiarkan di dalam blog secara konsisten. Semoga para penulis blog yang mengisi dengan pengisian Islam terus istiqomah, tidak jemu mengkaji dan senantiasalah berdoa memohon kekuatan dari Allah SWT.


Misi Mengaktifkan Hati



Misi Mengaktifkan Hati
 *Semoga penulisan ini membantu sedikit sebanyak perubahan diri para pembaca.



Hati sudah terasa selesa dengan dosa? Ya! Itu tandanya hati itu tidak berfungsi. Ia merupakan penyakit yang lebih teruk daripada penyakit barah hati dan ramai yang tidak sedar bahawa mereka mempunyai penyakit ini. Sebaliknya, hati yang aktif sebenarnya akan merasa resah gelisah apabila disentuh oleh dosa yang dilakukan. Terguling-guling dibuatnya hati yang aktif jika disentuh oleh dosa. Mandi tak basah, tidur tak lena, jiwa kacau bak kata orang. Keadaan sebegitu yang menjadi permulaan untuk diri melangkah cergas menerpa ke seluruh alam, ruang dan waktu mencari penawar ataupun sumber tenaga bagi mengaktifkan kembali hati.

            Untunglah barangsiapa yang menyertai misi mengaktifkan hati kerana setiap langkah yang mereka susun dengan penuh tekad itu sentiasa diiringi dengan pertolongan Allah SWT untuk turut sama membantu mereka. Ini kerana selangkah seorang hamba Allah SWT itu menujuNya, maka berlari pula Allah SWT menuju hambaNya.

Terasa makan dalam dengan sesuatu berdakwah kearah kebaikan walaupun yang menyeru itu sudah mengajak dengan penuh berakhlak? Tahniah! Itu tandanya hati masih lagi aktif dengan sesuatu kebaikan. Jangan sekali-kali memarahi orang yang berdakwah itu pula tetapi cepat-cepatlah mengangkatkan tangan berdoa serta bersyukur kepada Allah SWT untuk terus dikurniakan hati sedemikian di dalam kehidupan. Alangkah beruntungnya bagi sesiapa yang mempunyai hati yang sensitif, aktif dan makan dalam dengan sesuatu mesej kebaikan yang diterimanya.

Namun perlu juga diingat, misi mengaktifkan hati senantiasa menghadapi cabaran. Ada sahaja cabaran yang tidak disangka datang menduga. Ada yang menyerang hendap perjalanan misi ini. Ada pula yang mengkhianati perjalanan misi ini secara senyap yang mana menjadi gunting dalam lipatan. Tetapi janganlah pula dirasakan khuatir akan cabaran tersebut dan perjalanan misi ini harus dijalankan dengan penuh istiqomah! Formula utama kekuatan misi ini adalah berkumpulan, kerjasama dan bersinergi. Sudah namanya pun misi maka perlulah digerakkan secara berjemaah. Misi apa yang berjalan seorang diri? Dan itulah sebaik-baik system pertahanan yang perlu diberikan perhatian sewajarnya. Hati setiap seorang yang menyertai misi tersebut perlu bersatu menjadi satu, barulah musuh yang bertebaran di sepanjang jalan dapat dihadapi dengan penuh gagah.

Sebab itulah barangsiapa yang menyertai misi mengaktifkan hati ini sama ada secara langsung atau tidak langsung sepatutnya sedar bahawa mereka merupakan golongan yang beruntung. Jangan sama sekali merasa diri rendah, lemah dan mundur. Jangan sama sekali tenggelam dengan persepsi negatif musuh akan tujuan dan matlamat perjalanan misi yang panjang ini.

Akhir coretan ini, sama-samalah kita berdoa untuk terus istiqomah berada dalam perjalanan misi ini dalam menuju mardhatillah (redha Allah SWT).

Wednesday, 26 June 2013

Persoalan Besar Di Koridor Masjid

Persoalan Besar Di Koridor Masjid

# Saya merakamkan seulit pengalaman sekitar akhir Semester 6 dalam bentuk penulisan bagi mencerahkan pemikiran rakan-rakan sebaya untuk menjadi lebih matang bagi menjejakkan kaki ke alam rumahtangga.



"Perkara apa yang paling mencabar dalam mendidik anak-anak Abang Li?" soalku perlahan-lahan sewaktu duduk bersama Abang Li di koridor masjid bagi memakan nasi lemak yang dihidangkan oleh pihak Masjid Daerah Perak Tengah seusai solat Isyak berjemaah dan kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Masri.

            Jauh merenung sambil menyuapkan nasi lemak ke mulut, akhirnya Abang Li menjawa dengan raut wajah yang penuh kesedaran, "Perkara yang paling mencabar dalam mendidik anak adalah kesabaran. Sebelum bernikah, kita masih mampu bercakap mengenai kesabaran. Tetapi selepas ada anak, kesabaran yang perlu ditanggung sudah tidak mampu terucap."

            Mendalam benar makna yang terpahat di dalam hatiku apabila mendengar ayat, "kesabaran yang tidak terucap."

            Mungkin ucapan ini memadamkan hasrat di dalam hati yang mendengar untuk mendirikan rumahtangga. Tetapi kemudiannya perbincangan saya dengan Abang Li ditutup dengan suatu pesanan yang menggerakkan jiwa bagi berusaha di dalam suatu ruang baru yang mungkin kebanyakkan orang terlepas pandang apabila terdetik hasrat untuk mendirikan rumahtangga.

            "Sebab itu sebelum mendirikan rumahtangga, seseorang itu perlu kenal dirinya sendiri. Kenal diri bukan disisi perempuan, bukan disisi harta dan seumpamanya. Tetapi kenal diri di sisi Tuhan yang Maha Esa," ucap Abang Li sambil menunjukkan jari yang telunjuk mengarah ke langit.

            Selepas membasuh tangan dan bersalaman dengan para jemaah masjid dan Ustaz Masri bagi beransur pulang. Aku berjalan menuruni tangga dan melalui koridor bersama Abang Li.

            "Kalau kita kenal diri kita, maka kita tahu dimana kita hendak letak diri kita apabila menjejakkan kaki ke alam rumahtangga," pesan Abang Li yang mengukuhkan lagi ucapannya sebentar tadi.


            Terfikir ketika itu, berapa ramai orang tidak meletakkan diri mereka di tempat yang sepatutnya. Akhirnya mereka menzalimi diri mereka sendiri. Ini merujuk kepada definisi ZALIM yang membawa maksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya, lawannya ADIL.

Tuesday, 25 June 2013

Tuhan Itu Maha Adil

Tuhan Itu Maha Adil

"Kau lihatlah penyanyi itu ada suara yang sedap sehingga membolehkannya mencari pendapatan dengan menjadi seorang penyanyi tetapi ada pula manusia yang bisu sehinggakan menyukarkannya untuk berkomunikasi. Di manakah keadilan Tuhan bagi hambaNya?" luah Rahmat sambil menundukkan wajahnya. Ucapannya itu seperti menidakkan keadilan Tuhan buat sekelian makhluk.



                Zaki cuba untuk bersifat empati dengan rakannya itu. Hairan juga dibuatnya dengan perbandingan yang dilakukan itu. Persoalan keadilan Tuhan timbul diantara dua situasi iaitu penyanyi dan seorang yang bisu. Ianya persoalan yang benar-benar mencabar minda untuk diberikan jawapan yang segera. Perlu lebih teliti untuk memberikan jawapan yang berhikmah. Terdiam sebentar dengan soalan yang sebegitu rupa. Terdiam pula bukannya membuntu tetapi memikirkan kembali pilihan jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada Rahmat.

                "Apakah yang engkau faham dengan maksud keadilan bagi kedua-dua keadaan tersebut? Antara penyanyi yang bersuara lunak dan seorang yang bisu?" soal Zaki bagi meneliti terlebih dahulu kefahaman Rahmat terhadap maksud adil yang difahaminya.

                "Jikalau si penyanyi dianugerahkan suara lunak biarlah si bisu itu dapat bersuara walaupun tidak lunak. Itu barulah adil," balas Rahmat dengan yakin.

                "Itu sama rata. Jika si penyanyi bersuara, maka si bisu pun mesti bersuara. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, walau kita melihat si bisu tidak mempunyai suara tetapi mungkin dia dikurniakan kebahagian hidup yang lebih baik. Bisunya itu tidak membuatkannya menghamburkan kata-kata nista kepada manusia yang lain. Sebaliknya, si penyanyi itu pula walaupun mempunyai suara lunak, kelunakkan suaranya itu membuatkan dia begitu sibuk memenuhi jemputan nyanyian di sana sini sehingga dirinya tidak sempat mengecap kebahagian hidup. Si bisu bahagia dengan caranya tersendiri dan si penyanyi bahagia dengan cara yang tersendiri. Masing-masing Tuhan beri kenikmatan hidup pada keadaan yang berbeza tetapi pada kadar yang sama," balas Zaki dengan penuh bersemangat.

Kesamarataan dan keadilan itu dua perkara yang berbeza...


Monday, 24 June 2013

Guru Inspirasi Hidupku

Guru Inspirasi Hidupku

Ramai rakan-rakan di Facebook yang menceritakan kenangan mereka sewaktu zaman persekolahan bersama guru-guru mereka. Ia membuatkan fikiranku tercari-cari apakah pula kenangan yang aku ada bersama dengan guruku. Puas otak aku berfikir bagi mengimbas kembali kenangan sewaktu zaman persekolahan terutamanya sewaktu di Sekolah Rendah Kebangsaan Tualang. Setelah lama berfikir, ada seorang guru yang masih aku kenali dengan panggilan Sir Zul. Beliau merupakan seorang guru yang mengajar Bahasa Inggeris. Tetapi beliau turut mempunyai kemahiran melukis yang agak mengagumkan dan aku merupakan salah seorang murid ketika itu yang turut berasa kagum dengan kemahirannya.



            Pada suatu hari, apabila selesai sahaja menjawab soalan peperiksaan di dewan peperiksaan. Aku berasa sangat bosan. Lalu, aku mencapai sebatang pen untuk melukis. Aku suka menggunakan pen untuk melukis kerana garisannya terang dan tidak perlu ditekan sepertimana pensel. Berbeza sekali dengan rakan-rakanku yang lain ketika itu yang mana lebih gemar menggunakan pensel bagi melukis.

            Ketika aku leka melukis sebuah kapal di atas kertas lukisan, Sir Zul datang menghampiriku.

            "Apa yang kamu cuba lukis?" soalnya sambil memerhati lukisan yang aku lukis tidak seperti kapal itu.

            "Kapal sir," balasku ringkas.

            "Ouh kapal. Kalau kamu hendak lukis dengan menggunakan pen, kamu perlu belajar tekniknya," pesan Sir Zul lalu mengeluarkan pen dari kocek kemejanya bagi menunjukkan teknik yang dimaksudkannya itu. Berbeza sekali dengan beberapa orang guru lain ketika itu yang mana melarang untuk melukis menggunakan pen kerana aku masih murid sekolah rendah. Masih banyak melakukan kesalahan. Masih terlalu awal untuk menggunakan pen.

            Motivasi yang ditunjukkan oleh Sir Zul sedikit sebanyak membuatkan semangat aku untuk melukis terus berkobar. Teknik garisan yang menjadi asas dalam lukisan terus diperbaiki dari masa ke semasa. Aku terus mengaplikasikan teknik garisan yang ditunjukkan beliau sehingga aku memasuki bidang seni pada waktu sekarang dalam kursus Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital.

            Setelah sekian lama aku tidak bertemu dengan Sir Zul, pada Semester 3 aku mengetahui bahawa beliau telah meninggal dunia. Aku mengetahui berita itu setelah setahun lebih beliau meninggal dunia. Aku tidak sempat untuk berjumpanya untuk menunjukkan kejayaan yang aku peroleh dari tunjuk ajarnya ketika itu. Berita itu benar-benar menyedihkan aku.

            Apa yang aku mampu lakukan adalah terus berdoa agar rohnya sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Terima kasih Sir Zul atas tunjuk ajar pada hari itu. Aku sentiasa mengingatinya.

Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan guru-guru kita di dunia dan di akhirat.


Musim Jerebu, Musim Muhasabah

Musim Jerebu, Musim Muhasabah

Melihat semakin lama semakin tebal, ramai sahaja yang lebih suka duduk di dalam rumah. Sukar untuk mereka bergerak ke sana sini kerana kualiti penglihatan yang teruk dek kerana jerebu yang menebal.

            Anak yang sebelum ini seronok bermain dengan rakan-rakannya di sekolah, kini perlu bercuti. Bercuti bukan untuk berseronok, tetapi bercuti untukberkuarantin di dalam rumah. Pada saat inilah dia akan melihat ibunya yang bersusah payah di dapur untuk menyiapkan makanan tengaharinya sewaktu di sekolah.

            Untuk yang suka mencari salah orang di sana sini sebelum ini, jerebu yang menyukarkan pergerakkan mereka hanya membolehkan mereka untuk bergerak dan melihat apa yang perlu sahaja. Lantas, berkurung sahaja di dalam rumah dan melihat rumah penuh bersepah. Setiap sudut seperti meminta simpati untuk dikemas dan disusun atur. Sedarlah ia akan dirinya selama ini banyak juga salah silap yang terlepas pandang.

            Bagi yang suka ke tempat awam dengan aurat yang terdedah di sana sini, kita sebahagiannya dapat menarik nafas lega kerana penglihatan mereka buat sementara waktu dapat direhatkan daripada bergelut untuk menjaga mata dan hati mereka. Manakala, buat yang suka mendedahkan aurat, boleh mereka bermuhasabah diri selama ini untuk berubah menutup aurat.


            Sekian banyak lagi hikmah dari musim jerebu ini yang mana menatijahkan musim muhasabah untuk menilai kembali setiap sudut kehidupan yang sebelum ini mungkin terlepas pandang dek kerana kesibukan yang menghambat renungan diri.

Wallahu'alam.


Pemikiran Yang Berjerebu

Pemikiran Yang Berjerebu

Di saat menghadapi musim jerebu yang menggemparkan seluruh negara, berbagai reaksi yang timbul dari masyarakat. Berbagai jenis ulasan, alasan, hujah, komen, kritikan dan seumpamanya keluar dari mulut mereka. Namun apa yang pasti, persamaannya adalah pemikiran masyarakat kita sememangnya berjerebu. Sangat tebal jika boleh dilihat jerebu yang melanda pemikiran masyarakat kita.. Pemikiran yang berjerebu lebih berbahaya berbanding jerebu yang dialami ketika ini kerana pemikiran yang sedemikian akan melahirkan suatu reaksi yang tidak bijaksana serta tidak menyelesaikan keadaan.


            Lebih parah daripada itu, pemikiran manusia yang berjerebu ini menghalang mereka daripada melihatt hikmah dan pengajaran yang hendak disampaikan oleh Allah SWT di sebalik kabus jerebu yang terjadi. Kelak, tindakan-tindakan yang bakal mewujudkan jerebu masih lagi berterusan dan semakin teruk pula daripada sekarang. Kerana apa? Ini kerana manusia seringkali tidak mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi.

            Sebaiknya musim jerebu yang terjadi kali ini sudah dapat membuatkan pemikiran kita yang sedia lama berjerebu itu reda dan membolehkan kita nampak apa tindakan yang sewajarnya diambil untuk dilakukan kelak.


            Sementara masih berjerebu dan kebanyakkan duduk di dalam rumah menanti jerebu reda, sebaiknya muhasabah diri kembali dan renunglah pengajaran di sebalik musim jerebu yang berlaku. Fikirkan tindakan apa yang hendak diambil selepas ini agar musim jerebu yang lebih tebal tidak menjelang kembali.