Sunday 23 June 2013

Dakwah Makan Dalam Talam

Dakwah Makan Dalam Talam


"Semua yang kita makan sekarang kurniaan Allah SWT. Kekuatan untuk kita mengangkat tangan ini pun Allah SWT," ucap seorang abang dari jemaah tabligh pada suatu ketika dahulu. Ucapannya itulah yang membentuk persepsiku untuk kali pertama bahawa mereka inilah yang membuatkan langkah-langkahku untuk mengenal Islam yang selama ini dianuti menjadi semakin rancak.

            Begitu pantas masa berlalu, kini aku sudah lanjutkan pelajaran ke alam universiti. Allah SWT telah menemukan diriku dengan pelbagai jenis sahabat yang juga mahu mengenal Islam dan memahami Islam dengan lebih mendalam. Uniknya masing-masing mempunyai cara yang tersendiri untuk permulaan mereka mengenal Islam. Ada yang bermula dengan usrah, ada yang bermula dengan program motivasi, ada yang bermula dengan iftar bersama yang makan di atas talam dan pelbagai macam lagi permulaan yang menarik bagi diriku.

            Seperkara yang aku belajar untuk setakat ini adalah makan talam. Aku melihat banyak sekali ruang untuk berdakwah ketika makan setalam bersama sahabat-sahabat yang baru, terutama sekali dari kalangan junior. 

Tidak kurang juga ada yang menolak pelawaan untuk makan bersama di dalam talam dek kerana melihat seperti kotor kerana perlu berkongsi lauk, kuah dan nasi yang sudah disentuh oleh orang lain sewaktu makan.Lantas, aku cuba menyenaraikan beberapa pengajaran untuk dikongsikan bersama dalam penulisan ini :

1.     Kuku mestilah dalam keadaan senantiasa bersih kerana ia menyimpan bakteria.

2.     Untuk permulaan sewaktu makan, mulakan dengan berkongsi seketul lauk terlebih dahulu walaupun di dalam talam tersebut terdapat berketul-ketul lauk lagi yang ada.

3.     Suapkan makanan kepada sahabat untuk menghilangkan rasa kekok di dalam diri mereka dengan diri kita.

4.     Sukarela untuk membasuh talam sesudah makan. Ini salah satu perkara yang kadang-kadang sukar untuk diamalkan apabila seseorang itu sudah makan setalam.

5.     Jangan meninggalkan sahabat dalam keadaan makanan masih banyak dalam keadaan kita mampu untuk melihat kemampuan rakan kita itu untuk menghabiskannya.

6.     Makan dengan penuh tertib walaupun keadaan diri merasa lapar. Makan setalam bukan untuk mengenyangkan perut tetapi untuk mengenyangkan iman dan menguatkan ikatan ukhuwwah.

7.     Membersihkan kawasan tempat makan dengan penyapu sampah dan mop. Makan dalam talam itu sunnah tetapi jangan dilupakan, kebersihan itu juga sunnah yang perlu diingatkan kepada diri kita.

            Semoga selepas ini program iftar yang berlangsung pada hari Isnin dan Khamis dapat menjadi modal dakwah yang berkesan. Tidaklah ianya akan menjadi program mengenyangkan perut sahaja tetapi lebih penting daripada itu mengenyangkan jiwa dengan rasa keimanan kepada Allah SWT.

#Penulisan ini sebagai usaha untuk mengubah diri penulis sendiri. Ia dikongsi bersama rakan-rakan semua untuk sama-sama melihat diri terhadap perkara-perkara asas yang seringkali dilakukan sebelum ini. Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan untuk menggerakkannya sebagai modal dakwah terhadap rakan-rakan kita sekeliling.


2 comments:

  1. lama dah tak tengok pusat islam seri iskandar. ..

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas infonya..saya baru nk ajar anak2 mkn dlm talam

    ReplyDelete