Friday 21 June 2013

Krisis Identiti Siri Pertama : Usia Muda dan Suka Berhibur

Krisis Identiti Siri Pertama : Usia Muda dan Suka Berhibur

"Biasalah orang muda, mereka memang suka berhibur," ucap seorang tua berkenaan anak muda yang dilihatnya disamping mengenangkan kembali zaman mudanya. Orang tua tersebut boleh dikatakan sebagai bermasalah apabila mengidentitikan usia muda dengan sifat suka berhibur (hiburan yang melampau).

            Mengidentitikan usia muda dengan imej suka berhibur merupakan suatu krisis identiti yang parah. Ini akan membuatkan ana muda terus-menerus mereka melihat  sifat suka berhibur mereka itu sebagai suatu yang halal dan tidak ada apa-apa kerugian sedikit pun dek kerana sudah menganggap ia bersesuaian dengan usia muda mereka.

            Mengidentitikan fenomena semasa dengan pemuda juga merupakan salah satu gejala yang menghancurkan generasi tulang belakang negara. Ini bererti menjadikan para pemuda itu tunduk kepada arus semasa yang merosakkan identiti dan potensi mereka sebagai pemuda untuk disyukuri dengan sebaik mungkin bagi digunakan kearah pembangunan agama, bangsa dan negara.

            Kalau benar perkara ini suatu hakikat pemuda, kenapa Sultan Muhammad Al-Fateh pada usia mudanya iaitu 21 tahun tidak sahaja memasukkan penari gelek ke dalam istananya atas alasan, "Aku pemuda dan biasalah pemuda hendak berhibur." Sebaliknya, beliau memilih untuk menuntut 'ilmu dan menginfakkan (menyerahkan) dirinya sebagai modal untuk perjuangan Islam.

            Bukti sejarah dalam memahami identiti pemuda selanjutnya boleh kita fahami dalam catatan sejarah pemuda yang merangka mazhab yang kita ikuti sekarang sebagai sebahagian besarnya iaitu Imam Asy-Syafi'e. Pada usia mudanya, beliau gigih membanting tulang empat kerat untuk mendalami ilmu-ilmu yang ada pada zamanya. Boleh sahaja beliau menggunakan alasan, "Aku anak muda lagi. Biarlah aku berhibur. Perkara-perkara serius itu semua kerja orang tua." Namun, sebaliknya beliau memilih untuk mendalami 'ilmu dan akhirnya diiktiraf untuk memberikan fatwa pada usia yang sangat muda oleh para ulama' yang menjadi gurunya ketika itu.


            Kesimpulannya, teruskanlah membaiki dan membina kekuatan untuk melihat diri kita dengan sedalam mungkin beriringan dengan kefahaman Islam. Kelak, ia akan membongkar potensi sebenar diri kita untuk menjadi pemuda ulung!


1 comment:

  1. Semoga Allah tetapkan hati kita semua supaya dapat membezakan mana yang hak dan yang batil.

    ReplyDelete